Friday, July 20, 2012

Gambar masjid setelah disapu cat minggu ini
Selamat menyambut Ramadhan alMubarak, moga amalan kita diterima Allah swt

AKTIVITI DALAM BULAN RAMADHAN:


HIDANGAN BERBUKA PUASA
Pihak Masjid akan menguruskan hidangan berbuka puasa bagi bilangan 25 orang tiap-tiap hari. Walaupun begitu, jika ada ahli jemaah yang ingin menderma untuk berbuka, memadailah untuk menderma wang, dan pihak masjid akan uruskan makanan.


MAJLIS TAHLIL
Majlis tahlil akan diadakan tiap-tiap malam 15 minit sebelum masuk waktu Isyak. Jemaah yang ingin menyertai sila isikan borang tahlil dan serahkan kepada Bendahari En Abu Bakar Mohd Amin.


SOLAT SUNAT TERAWIH
Solat sunat terawih 20 rakaat akan diketuai oleh Imam Tahfiz, Al Fadzil Ustaz Mohd Hanafi selepas solat ba'diah isyak, di ikuti dengan solat sunat witir 3 rakaat dengan 2 salam.


MAJLIS MOREH
Moreh akan disediakan selepas solat sunat witir, mengikut senarai giliran yang telah diedarkan.


TADDARUS ALQURAN
Taddarus alQuran akan diadakan setiap malam selepas moreh, di ketuai oleh Imam Imam Masjid.

Monday, July 9, 2012

Assalaamu'alaikum,


Semenjak kembalinya ke Rahmatullah Almarhum Hj Md Fuat Ahmad pada tahun 2010, blog ini tidak dikemaskini dengan teliti. Oleh itu mulai sekarang saya akan mengemaskini blog ini supaya informasi semasa sentiasa di paparkan.


Wassalaam,
Hj Abdul Ghaffur bin Ramli
Nazir 
masjid al-Ehsan Kelana Jaya

Saturday, November 5, 2011

MAKLUMAN - MASJID NEGERI SELANGOR

Assalamualikum,

Adalah dimaklumkan bagi pihak Masjid Negeri Selangor seperti berikut:-

1. Masjid SAAS telah menaiktaraf sistem SMS ketalian tetap & nombor dari SMS ini boleh disimpan didalm talepon bimbit.

2. Forum Perdana yang akan diadakan pada 12 Nov 2011 adalah program khas Halaqah yang disiarkan TV9. Tajuk perbincangan adalah Persoalan Aqidah "Dimana Posisi Kita".  Ahli panel: Dato Dr. Hasan Ali...Moderator:- En. Ahmad Nor Sulaiman..

Muslimin & Muslimat dijemput hadir.

Sunday, August 14, 2011

MEMAHAMI ERTI KEHIDUPAN

بسم الله الرحمن الرحيم

Allah menciptakan alam ini dengan segala pengisiannya adalah untuk kehidupan manusia, semua yang terdapat di dunia adalah untuk manfaat manusia maka sesuailah manusia diamanahkan supaya mentadbir dan menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Dari awal manusia di peringatkan bahawa kehidupan dunia bukan seperti syurga tetapi ianya merupakan tempat ujian.
Ujian utama ialah sama ada manusia mengakui Allah itu Tuhan mereka atau mengambil benda lain sebagai Tuhan mereka. Mereka yang mengakui dan mempercayai Allah itu Tuhan yang Maha Esa maka mereka memperolehi nikmat Iman dan Islam, namun demikian mereka belum terlepas dari ujian Allah kerana dunia ini adalah tempat ujian, jika manusia tidak diuji mereka akan lupa akan pengakuan dan syahadah mereka. setiap ujian yang dihadapi dengan betul mengikiut ajaran Allah mereka akan terlepas dari dosa dan sebaliknya mendapat pahala pula.
Mereka yang mengambil selain Allah sebagai Tuhan dan penyerahan ibadat mereka, mereka itu adalah orang-orang yang gagal ujian, bagi mereka tanpa pertolongan sedikit pun di akhirat nanti, kekallah mereka di dalam seksaan api neraka.
Merujuk kepada ujian Allah, kita dapati tiada seorang individu pun yang terlepas dari menghadapi ujian. Malah Rasul-rasul pun menghadapi ujian, mungkin timbul pertanyaan mengapa begitu, itulah kehendak Allah, itulah perancangan Allah dan itulah juga ketetapan Allah. Itulah hakikat kehidupan yang perlu difahami.
Sekiranya kita berfikir sepatutnya begitu dan begini, itu adalah kehendak kita, kehendak kita mustahil mengatasi kehendak Allah, kehendak kita hanya terlaksana dengan izin Allah atau kehendak yang sama dengan Allah atau umpama doa kita yang dimakbulkan. kita berdoa untuk mendapatkan kejayaan akhirnya kita mencapai kejayaan, kita berdoa supaya tanaman kita hidup subur dan hasilnya bertambah, akhirnya harapan itu tercapai, semuanya terikat dan tidak terlepas dari pentadbiran Allah sesaat pun.
Manusia menghadapi ujian berbeza di antara satu sama lain. ada yang ditimpa kemalangan, kehilangan anak, kematian orang yang dikasihi, kerisauan, murung, kemiskinan . kefakiran, penyakit kekal, penyakit sementara, kecacatan dan berbagai-bagai lagi yang tidak mampu disebutkan di sini.

Namun demikian kita dibekalkan dengan cara dan kaedah untuk mengatasinya, Allah mengutuskan Rasulullah.s.a.w. menjelaskan kepada kita tentang hakikat hidup di dunia ini , menjelaskan kepada manusia bahawa dunia ini hanya sementara, hanya pinjaman dan hanya tempat ujian seperti disebutkan di atas.
Dunia ini umpama penjara berbandingan dengan syurga, di dunia terdapat suruhan dan larangan, ianya tidak seperti di syurga, di syurga bebas, tiada suruhan dan larangan. Kehidupan di syurga umpama lagha di dunia, keadaannya penuh ceria, suka, gembira dan keseronokan yang tidak berkesudahan, dilayan oleh bidadari yang cantik dan segak, sebab itulah manusia di dunia ini berangan-angan dengan mengumpamakan setiap keseronokan yang mereka nikmati di dunia itu seperti syurga, walaupun mereka sedari bahawa keseronokkan di syurga amat jauh bezanya dengan keseronokan di dunia ini kerana keseronokan di dunia berakhir dengan keletihan, kesusahan, kehilangan sebahagian rezeki, mengundang penyakit dan lain-lain.
Dalam menghadapi kehidupan di dunia ini. umat Islam dibekalkan dengan panduan supaya mereka menjalani hidup dengan cara yang betul dan mendapat kesejahteraan yang kekal. Di antara panduan yang hendak dipaparkan di sini ialah membudayakan solat hajat dan solat istikharah. kita umat Islam adalah wajar membudayakan solat hajat dan solat Istikharah di dalam kehidupan harian.

Di dalam kehidupan harian tidak dinafikan bahawa kita mempunyai banyak hajat yang belum tertunai seperti anak bersekolah belum tamat, belum mendapat pekerjaan, belum bertemu jodoh, kita sendiri belum cukup sihat, belum sempurna rezeki dan berbagai-bagai lagi yang perlu kita menadah tangan memohon kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kita juga kekadang terkeliru dengan beberapa pilihan untuk membuat keputusan, maka dua situasi inilah memerlukan kita beramal dengan solat sunat Hajat dan solat sunat Istikharah.

Apabila kita melakukan solat dan doa Istikharah, ia bererti kita telah memohon semoga Allah menunjukkan keputusan yang terbaik untuk kita.
Solat sunat Hajat dan solat Istikharah pada asasnya cara melaksanakannya adalah sama sahaja, cuam niatnya sahaja yang agak berbeza iaitu Sahaja aku bersolat sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Taala manakala solat Istikharah " Sahaja aku bersolat sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah Taala"
Kata Jabir bin Abdullah: "Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: 'Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini.

'Maksud doa solat sunat Istikharah:
"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan...) adalah bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya." (sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).'"

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk".
Surah An.Nahl .
[125]
_______________________________

Sekian. Wallahu aklam.

Panduan Ringkas Qiamullail

Ibadat khas sama ada wajib atau sunat semuanya bersandarkan kepada dalil-dalil naqli dari Allah.S.W.T sebagai bukti bahawa ternyata Allah memerintahkan hamba-Nya untuk melakukan ibadat tersebut.


“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajjud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat) iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan tartiil”
(Surah al-Muzammil ayat 1-4)


  • Qiyamullail ialah bangun pada waktu malam (menghidupkan malam) dengan beribadat kepada Allah seperti bersolat, membaca al-Quran dan berzikir semata-mata mengharap keredhaan Allah.
  • Pada awalnya qiamullail wajib bagi rasulullah dan para sahabat. Semak ayat 1-10 surah al-Muzammil di bawah ini.



[1] Wahai orang yang berselimut!
[2] Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),
[3] Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,
[4] Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.
[5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
[6] Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.
[7] (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;
[8] Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.
[9] Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.
[10] Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.

Setelah setahun disyariatkan amalan itu menjadi sunat muakkad pula bagi setiap umat Islam .Namun ia tetap wajib ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Semak maksud ayat 20 surah al-Muzammil di bawah ini


"Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

KELEBIHAN QIAMULLAIL
Doa mudah dimakbulkan.
Mendapat ketenangan jiwa.
Dimurahkan rezeki.
Dihormati masyarakat.
Dilindungi Allah daripada khianat manusia.
Jika dia pemimpin akan dihormati dan disegani
Dan lain-lain kebaikan kurniaan Allah.

WAKTU-WAKTU QIAMULLAIL

  • Waktu untuk solat malam ialah selepas isya’ sehingga sebelum masuk subuh. Bagi solat tahajjud, kita digalakkan untuk tidur dahulu walaupun seketika.
  • Waktu yang paling afdal (utama) ialah sepertiga malam


PENGISIAN QIAMULLAIL
Qiamullail boleh dimulakan sebaik sahaja selepas solat isyak kecuali solat sunat tahajjud dikehendaki atau digalakkan tidur terlebih dahulu.
Di antara aktiviti pengisiannya;
(1) Solat sunat tasbih.
(2) Solat sunat Taubat.
(3) Solat sunat Tahajjud*
(4) Solat sunat Istikharah.
(5) Solat sunat Hajat.
(6) Dan solat sunat yang lain.
(7) Solat sunat witir.( Penutup solat sunat )

*..Sabda Rasulullah.s.a.w. bermaksud;“Solat yang paling baik selepas solat fardhu ialah solat (Tahajjud) di tengah malam.” (Hadith riwayat Muslim)

Semua solat sunat itu ditutup dengan solat Sunat Witir ( Witri ), sekurang-kurang tiga rakaat dengan cara bersolat dua rakaat satu salam dan satu rakaat satu salam.( Tiga rakaat dengan dua salam )

Selepas solat tersebut sementara menunggu waktu Subuh eloklah berzikir seperti yang biasa dilakukan dan membaca al.Quran.

Wassasalam.